Renungan Jam 9 Malam

oleh Charanjit Kaur

Dr Charanjit Kaur

Jam digital komputer menunjukkan tepat jam 9 malam; hujan lebat membasahi bumi Malaysia sejak petang tadi. Di malam dingin ini, nescafe panas menjadi teman menenangkan minda.  Seperti biasa, laman sosial media turut menjadi teman, akan tetapi hati ini terkilan membaca komen-komen mentah segelintir warga internet. Komen penuh prejudis dan disulami dengan perasaan kebencian – sesuatu yang ingin saya perbetulkan lebih-lebih lagi sebagai seorang pendidik. Maka, terbitlah keinginan untuk meluahkan perasaan betapa sayangnya hati ini terhadap bumi Malaysia.

Malaysia tanah tumpah darah ibu yang melahirkan saya, juga tumpah darah saya melahirkan dua orang anak warganegara sah negara ini. Negara kebanggaan kami sekeluarga; rasa sayang kami kepada ibu pertiwi tidak berbelah bahagi. Malaysia bumi bertuah apalagi kami yang berpeluang membesar dalam suasana harmonis dan makmur dikelilingi masyarakat bersifat heterogeneous. Kepelbagaian etnik negara ini merupakan tunjang kesejahteraan hidup bersama. Keanekaragamannya mengajak kita hidup saling bertoleransi, menghormati dan bekerjasama tanpa menghiraukan perbezaan budaya atau amalan kehidupan serta menghargai keamanan dan berjuang untuk mengekalkan keharmonian negara. Konflik antara agama atau etnik bukan pilihan dan bukan juga matlamat rakyat negara ini. Rakyat negara ini bijak dan matang untuk memilih keharmonian hidup bersama.  

Konflik dalaman yang kekadang timbul, saya andaikan seperti percikan api;  ia takkan marak atau menghancurkan negara. Malah, di sebalik konflik antara etnik ini ada hikmah sebenarnya. Segala salah-faham atau perasaan tidak puas hati cuba diselesaikan melalui rundingan bersama oleh pihak kerajaan dan agensi terlibat termasuk rakyat biasa. Secara tidak langsung, ini membuka peluang dan ruangan untuk individu atau masyarakat untuk bersuara, menyampaikan pendapat masing-masing secara terbuka dan bertatasusila walaupun berbeza pandangan. Hak bersuara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dipraktikkan mengikut lunas undang-undang. Yang penting, konflik sedemikian menyedarkan masyarakat umum supaya prihatin terhadap tuntutan atau sensitiviti etnik lain, khasnya kelompok minoriti yang mungkin terlepas pandang dalam perbincangan arus perdana.

Sebagai etnik minoriti negara ini, saya berpeluang mendapat pendidikan dan pekerjaan mengikut kelayakan. Walaupun mengharungi ombak di lautan peluang kehidupan, saya tidak pernah patah semangat, malah saya terdorong untuk terus memperbaiki diri dan mengenali rakan-rakan sebidang yang berbilang etnik serta saling belajar antara satu sama lain.

Akhir sekali, bagi saya, sebagai rakyat negara tercinta ini, adalah suatu rahmat dari Tuhan kerana berpeluang menyelami dan menghargai budaya etnik-etnik yang pelbagai dan berbeza-beza. Saya sendiri mengamalkan banyak elemen-elemen budaya lain seperti nilai budaya yang baik, proses menyediakan makanan tertentu, bentuk hiburan dan bahasa ke dalam kehidupan seharian. Kepelbagaian elemen budaya dalam amalan hidup saya tidak menjadikan saya derhaka kepada etnik atau murtad dari agama sendiri malah melengkapkan keperibadian saya sebagai ANAK MALAYSIA dan menambah lagi perasaan sayang kepada Malaysia, negara tanah tumpahnya darah ini.

Sekian, renungan jam 9 malam ikhlas dari saya untuk tatapan rakyat Malaysia.

Perihal Penulis – Dr. Charanjit Kaur adalah Assistant Professor di Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Bidang pengkhususan beliau adalah antropologi budaya tertumpu kepada komuniti minoriti Sikh di Malaysia khususnya kepada tema-tema seperti konflik budaya-agama, identiti gender serta perlakuan sosial. Kebanyakan hasil penyelidikannya diterbitkan di dalam bab buku serta pelbagai jurnal tempatan dan antarabangsa. Beliau juga sering dijemput sebagai ahli panel agama Sikh dalam pelbagai forum akademik dan kemasyarakatan anjuran universiti dan institusi agama peringkat tempatan dan antarabangsa.

By MyCerita Rakyat

This blog is repository of stories of Malaysian life from anyone who wants to contribute to share with us a true experience as a Malaysian and anyone who lives in Malaysia. We accept stories from all ethnicities and groups. Our only request is that you honor diversity and inclusion and use this forum only to share experiences that reflect the reality of Malaysian living. We ask that you restrict political commentary and stereotyping, and not go beyond the facts of the story you share. We reserve the right to accept, edit and publish any narrative that is submitted. Thank you. The Cerita Rakyat Team

Leave a comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: